~*~*~*~*~*~*~
Daripada Ibn Abbas r.a. beliau berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda, “Sekiranya aku masih hidup sampai tahun depan, maka aku akan berpuasa pada (hari) kesembilan” (Riwayat. Muslim).
~Hari apakah kita disunatkan berpuasa Asyura??~
Kebanyakan Ulamak mengatakan sunat berpuasa pada Hari Kesepuluh bulan Muharram kerana Nabi S.A.W berpuasa pada hari tersebut dan menyarankan kepada para Sahabatnya agar berpuasa sedemikian. Imam Al-Qurtuby berkata bahawa perkataan “Asyura” diambil dari perkataan Asyara bermakna “sepuluh” tapi dalam bentuk perkataan menunjukkan bersangatan (mubalaghah) dan mengagungkan (takzim).
Ibnu Al-Munir mengatakan kebanyakan Ulamak mengatakan “Asyura” adalah Hari Kesepuluh. Rujuk juga kitab Fath Al-Bari. Malik, Ahmad, Ishaq dan lain-lainnya juga berpendapat demikian. Turut menyokong pandangan mereka adalah riwayat Ibnu Abbas R.A yang bermaksud, “Rasulullah saw menyarankan puasa Asyura iaitu Hari Kesepuluh” (hadis hasan sahih riwayat At-Tarmizi).
Pendapat sebahagian Ulamak ialah berpuasa pada kedua-dua Hari Kesembilan dan Hari Kesepuluh bulan Muharram berdasarkan hadis; bermaksud, “Pada hari Rasulullah saw berpuasa Hari Asyura (pada Hari Kesepuluh), para Sahabat ra berkata, ‘Ya Rasulullah, ia adalah hari yang disambut oleh orang-orang Yahudi dan Kristian, lalu Rasulullah saw bersabda, Tahun depan insyaAllah kita akan berpuasa pada Hari Kesembilan jika aku masih hidup’. Sebelum tiba tahun depan Rasulullah saw wafat”.
~*~*~*~*~*~*~
~Sunnah berpuasa pada hari 9 & 10 Muharram??~
Oleh itu Imam Asy-Syafie ra, Ahmad dan sebahagian Ulamak mengatakan sunat berpuasa pada kedua-dua Hari Kesembilan dan Hari Kesepuluh agar tidak menyamai Yahudi dalam meraikan hanya satu hari sahaja. Dikalangan mereka ada yang mengatakan puasa Hari Kesembilan sebagai langkah hati-hati agar tidak terlepas kelebihan puasa Hari Asyura.
Pendapat sebahagian Ulamak pula ialah sunat berpuasa Hari Kesembilan, Hari Kesepuluh dan Hari Kesebelas berdasarkan hadis riwayat Ahmad أي صيام: 9، 10، 11 للحديث: “صوموا يوم عاشوراء وخالفوا اليهود: صوموا قبله يومًا أو بعده يومًا” bermaksud, “Berpuasalah kamu di Hari Asyura dan kamu bezakanlah dengan (amalan) orang-orang Yahudi. Oleh itu berpuasalah sehari sebelumnya dan sehari selepasnya”.
Ringkasnya, yang paling afdhal ialah berpuasa pada ketiga-tiga hari ke 9, 10 dan 11 Muharram. Jika tidak upaya maka berpuasalah pada hari ke 9 dan 10 Muharram. Jika tidak upaya maka berpuasa sunatlah pada hari ke 10 Muharram.