BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

..::*Sweet`s Follower*::..

Tuesday 16 February 2010

Allah AkAn MeMbUkTiKaN iSi HaTiMu

“Bumi Jordan ini adalah sebahagian daripada apa yang disebut Allah alladzee baaraknaa haulahu!” saya berbicara bersama sekumpulan anak muda, mengisi masa.

Cuaca yang sejuk di Irbid memberikan rasa selesa untuk kami duduk rapat-rapat mengadap api pemanas.

“Dan mungkin salah satu daripada keberkatan itu, adalah pada keupayaan Jordan menyerlahkan isi hati kita di sini, dan sekembalinya ke Malaysia nanti.

Seperti kisah seorang Arab Badwi di zaman Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam,” bersama mereka, kami membuka sila untuk berbicara.


TELADAN SIRAH

Suatu ketika, seorang Arab Badwi datang kepada Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam, beliau beriman dan kemudian mengikut Baginda berhijrah ke Madinah. Di dalam satu peperangan, Baginda memperolehi rampasan harta seorang wanita lalu diberikan kepada Arab Badwi itu.

“Apa ini?” tanya lelaki itu.

“Aku membahagikannya untukmu,” jawab Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

“Bukan untuk ini aku mengikutmu. Apa yang aku inginkan adalah sekiranya aku menjadi sasaran anak panah ke sini – sambil menunjukkan lehernya – lalu aku mati dan masuk Syurga!” jawab lelaki itu.

“Jika kamu jujur, Allah akan membuktikan kejujuranmu!” balas Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Di dalam satu peperangan yang lain, lelaki itu terbunuh.

Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam memeriksanya dan mendapati lelaki itu terbunuh kerana terkena anak panah di tempat yang ditunjuk itu.

“Apakah ini dia orangnya?” tanya Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

“Benar,” jawab para sahabat yang lain.

“Jika kamu benar-benar jujur, Allah akan membuktikan kejujuranmu,” Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbicara terhadap lelaki itu.

Lalu Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengkafan lelaki itu dengan jubahnya, meletakkannya, dan mengerjakan solat ke atas jenazah lelaki itu dan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda, “Ya Allah, hamba-Mu ini keluar untuk berhijrah di jalan-Mu lalu dia terbunuh sebagai syahid dan aku menjadi saksi ke atasnya”

Kisah yang dirakamkan dalam riwayat oleh an-Nasa’ie dengan isnad yang sahih.


ISI HATI

Sahabat…

Selama bermastautin di bumi Anbiya’ ini, tanyalah hatimu dari satu hari ke satu hari, apakah yang engkau dambakan daripada keberadaanmu di bumi ini.

Jika di celah doamu di bawah awan bumi Syam ini ada sekelumit calar terhadap keikhlasan berjuang dan menjadi pewaris Anbiya’, calar itu nanti akan menjadikan engkau pencalar umat sekembalinya kalian ke pangkuan masyarakat.

Justeru ikhlaskanlah hati pada meninggikan cita-citamu dan Allah akan membuktikan keikhlasan hatimu.

Bumi Isra’ ini penuh barakah.

Setiap perlakuanmu di bumi Jordan adalah permintaan tentang siapa dirimu, suatu hari nanti…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Irbid, The Hashemite Kingdom of Jordan